Skuad Tambadau belum menyerah kalah

Oleh Willie Jude 13 September 2019 348
Skuad Tambadau belum menyerah kalah
Walaupun tipis, Sabah tetap mengintai peluang untuk melepasi peringkat kumpulan dengan syarat mereka perlu memenangi dua baki perlawanan bertemu Pulau Pinang dan Perak selain mengharapkan dua pasukan berkenaan kecundang kepada Pahang.

Dalam saingan Kumpulan C setakat ini, hanya Pahang yang telah mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati, namun satu lagi slot masih terbuka kepada tiga lagi pasukan, termasuk skuad Tambadau.

Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata mereka masih belum mahu menyerah kalah walaupun menyedari misi untuk layak ke suku akhir semakin tertutup tetapi baginya, mereka akan terus berjuang selagi masih berpeluang.

"Memang tipis, namun selagi kami melihat peluang itu masih ada, kami tidak akan menyerah kalah dan akan berjuang habis-habisan memenangi dua baki perlawanan dan harapan kami juga, Pahang dapat menewaskan mereka (Pulau Pinang dan Perak)," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, hari ini. 

Sementara itu, Jelius tidak menolak kemungkinan kejayaan mereka menjulang trofi Liga Perdana musim ini menyebabkan pemain berasa sedikit selesa dalam saingan Piala Malaysia, namun beliau menegaskan anak didiknya sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik sama ada dalam sesi latihan mahupun perlawanan sebenar.

Bekas pemain berusia 48 tahun itu turut mengakui kualiti pemain import yang dilihat hampir sama dengan pemain tempatan antara faktor skuad kendaliannya gagal menyerlah pada awal saingan Piala Malaysia.

"Memang kami agak kurang menyerlah dalam saingan awal Piala Malaysia ini dan antara faktor ialah kami tidak memiliki penyudah yang tajam. 

"Jika kita lihat juga, kualiti pemain import kami juga agak kurang dan ini sebenarnya memberi kesan kerana pasukan lain memiliki import yang lebih baik," katanya. 

Dalam pada itu, mengulas mengenai aksi bertemu Pulau Pinang di Stadium Likas, malam esok, Jelius berkata mereka perlu lebih berhati-hati sekiranya tidak mahu dimalukan skuad Harimau Kumbang itu di gelanggang sendiri.

Katanya, antara kekuatan Harimau Kumbang itu adalah pemain import mereka yang diihat sangat serasi, terutama dua penyerang import yang mampu mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.

Tambah beliau, tidak banyak pertukaran akan dilakukan terhadap kesebelasan utamanya malam esok selain memasukkan Rahman Shah Marajeh untuk menggantikan penyerang import, Aguinaldo Mendes Veiga, yang akan memulakan aksi di bangku simpanan. 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen