Penyerang The Bos Gaurus, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, mengakui mahu membuktikan kelibatnya relevan selepas tidak mendapat peluang dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan tempoh hari selain turut jarang berada dalam pilihan utama Mehmet Durakovic.

Dua jaringannya di Stadium Perak malam tadi cukup untuk dijadikan sebagai jawapan kepada kemampuan penyerang kebangsaan berkenaan bersama pasukan negeri.

Pada suatu ketika, kelibatnya sukar untuk dilihat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Durakovic itu sementara dalam kem kebangsaan sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 juga menyaksikan dia bukan pilihan utama jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Tidak hairanlah jika pemain itu beraksi dengan begitu sempurna dalam pertemuan Kumpulan C itu, apatah lagi dia bertekad untuk membuktikan kemampuannya bersama pasukan itu.

Kali terakhir pemain itu mencetak jaringan bersama juara bertahan Piala Malaysia itu ialah pada April lalu dan kini anak jati kelahiran Sitiawan itu sudah mampu menarik nafas lega dengan dua jaringan peribadi yang dicetaknya.

"Saya sememangnya meletakkan harapan untuk bermain sebab gol terakhir saya adalah pada April lalu.

"Ini malam saya untuk buktikan saya boleh (berkemampuan)," katanya.

Merujuk kepada pilihan dalam skuad kebangsaan, Shahrel Fikri mengakui dia ketinggalan daripada segi pengalaman jika dibandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha, namun menegaskan dia kini sedang berusaha untuk mencari peluang dalam kesebelasan utama skuad negara.

"Saya tahu tidak boleh melepasi pengalaman.

"Saya belajar daripadanya demi masa depan, saya tiada rasa iri hati (terhadapnya)," katanya.