Rata-rata peminat bola sepak Perak, khasnya penyokong PKNP FC, bukan saja gusar, malah tertanya-tanya benarkah khabar mengenai pertukaran tarikh dan venue perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Felda United telah ditunda ke Ahad ini di Stadium Shah Alam.

Mengikut jadual asal, PKNP akan melayan kunjungan Felda di Stadium Perak, Sabtu ini manakala The Bos Gaurus cuba melakukan kebangkitan setelah ketinggalan 1-3 kepada Skuad Tok Gajah esoknya di venue yang sama.

Walaupun secara rasminya jadual baru belum diedarkan, namun desas-desus kencang mengatakan faktor keadaan padang di Stadium Perak menjadi punca Dewan Bandaraya Ipoh (DBI) lebih mengutamakan pasukan negeri, Perak, untuk beraksi.

OK. Itu lambakan hebohan cerita di Ipoh.

Cuma peminat tertanya-tanya wajar dan tepatkah?

1) Kalau mengikut jadual asal, Perak akan bermain dahulu Sabtu ini. Oleh itu tiada masalah kerosakan padang ketika beraksi. PKNP juga tiada bantahan.

2) Kenapa bila PAFA dan DBI membuat bantahan baru FMLLP bertindak? Itupun bantahan berlaku selepas suku akhir pertama.

3) Kenapa ketika jadual dimuktamadkan, FMLLP terlepas pandang ada dua wakil negeri yang menggunakan venue yang sama? Sepatutnya venue digilir-gilirkan, suku akhir pertama satu pasukan bermain tuan rumah dan satu lagi sebagai pelawat, itu reaksi pelik peminat.

Umum tahu PKNP kali terakhir beraksi di Ipoh, Jun lalu, ketika menentang JDT II.

Selepas itu, skuad ini berkelana di Stadium Proton, Tanjung Malim dan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang kerana padang Stadium Perak ketika itu tidak menepati piawaian. Salah PKNP ke? Dalam kes ini, tuan 'jaga' stadium juga boleh tidur lena.

Mujur skuad ini menolak perkara-perkara negatif dengan mencipta keputusan yang baik di dalam saingan liga mahupun Piala Malaysia.

Jika benar khabar yang digusarkan ini dan jika ia berlarutan, setiap keputusan boleh diubah-ubah pada saat-saat akhir. Inikah hala tuju dan profesionalkah liga kita?

Peminat cuma mahu jawapan kepada situasi ini selain fungsi FMLLP di samping ketegasan mempertahankan peraturannya.

Tanpa peminat, siapalah yang akan menonton dan apalah ertinya sukan bola sepak di Malaysia?