SELANGOR 3 PERAK 1
(Selangor mara dengan agregat 3-2)

Selangor melepasi ranjau Perak di Stadium Shah Alam menerusi dua sentuhan pemusnah Mohd Khyril Muhymeen Zambri untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia.


Penyerang berusia 32 tahun itu, yang hadir dalam kem Selangor selepas pergolakan di Perlis musim ini, memadamkan kelebihan jaringan tunggal Brendan Gan buat juara bertahan itu minggu lalu untuk dijulang sebagai wira dalam aksi malam ini.

Kedua-dua pasukan saling membuatkan pertahanan lawan tidak senang duduk dengan beberapa asakan berbahaya, namun tiada percubaan yang benar-benar boleh mencemaskan pintu gol selain kurang percubaan tepat.

Apabila permainan mencecah minit ke-27, layangan kad kuning pertama diterima penyerang tuan rumah, Khyril Muhymeen, atas kekasarannya ke atas Leandro Dos Sandro.

Namun, situasi itu tidak begitu menjejaskan tempo permainan dan Shahrel Fikri Md Fauzi paling hampir untuk meledak gol buat The Bos Gaurus -- menurunkan tiga penyerang serangkai menerusi gandingan Raianderson Da Costa Morais (Careca) dan Ronaldo Henrique -- dihimpit kehampaan berikutan tandukannya hanya melintasi penjaga gol.

Pada minit ke-33, Syazwan Zainon mengimbangi keputusan perlawanan secara agregat 1-1 apabila menolak masuk peluang di depan pintu gol selepas sepakan penjuru Endrick dos Santos Parafita.

Jaringan itu secara tidak langsung menyentak rentak permainan pelawat.

Selepas ketua pasukan Perak, Shahrul Saad, menafikan satu percubaan dari sudut sukar, namun pintu gol mereka kembali bergegar dan kali ini Khyril Muhymeen menjadi watak pemusnah untuk melebarkan kedudukan kepada 2-0.

Bagaimanapun, Perak kembali dari bilik persalinan dengan menyedari bahawa satu gol sudah cukup untuk menghantar mereka ke babak empat terbaik.

Hasrat anak buah Mehmet Durakovic itu jelas apabila semakin kerap mengatur gerakan berbahaya.

Namun, Khairul Azhan Khalid memainkan peranan dalam detik penting buat Gergasi Merah dengan menutup ruang dari sebelah kanan pintu golnya berikutan Shahrel Fikri yang tidak dikawal.

Seminit selepas perbalahan antara pemain kedua-dua pasukan berikutan kurang semangat 'fairplay' selepas Ifedayo Olusegun ditimpa kecederaan kepala pada minit ke-65, kedudukan juara 33 kali itu bertambah selesa, sekali lagi hasil sentuhan tajam Khyril Muhymeen untuk terus melebarkan jurang kepada 3-0.

Perak sebagaimana perlawanan akhir musim lalu, tidak mengendurkan semangat juang dan hasilnya, Brendan Gan merapatkan jurang kepada 1-3 hasil teknik rembatan leret menarik pada minit ke-82.

Ia menjadikan perlawanan itu lebih terbuka yang menyaksikan Syazwan memiliki dua kesempatan menarik dalam kawasan penalti Perak tetapi tiada lagi jaringan yang terhasil biarpun selepas lima minit tambahan masa kecederaan diberikan.

Keputusan lain:

PAHANG 3 MELAKA 1
(Pahang mara dengan agregat 6-1)

KEDAH 4 PKNP FC 1
(Kedah mara dengan agregat 6-2)