Selangor dan Melaka United terpaksa menggigit jari selepas kedua-dua pasukan melepaskan peluang untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia lebih awal dan terpaksa menanti sehingga perlawanan terakhir, Rabu depan.

Selangor dan Melaka berpeluang untuk menempah tiket awal apabila masing-masing berkongsi enam mata sebelum sepak mula malam tadi.

Bagaimanapun, keputusan seri 1-1 di Stadium Shah Alam itu yang menyaksikan gol disumbangkan Khyril Muhymeen Zambri dan Saiful Ridzwan Selamat, ditambah pula dengan keputusan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, yang menyaksikan Felda United menundukkan PDRM FA 1-0, situasi itu menjadikan persaingan dalam Kumpulan D semakin rancak apabila ketiga-tiga pasukan terikat tujuh mata selepas lima perlawanan.

Malah, PDRM, yang di kedudukan dasar kumpulan selepas sekadar mengutip lima mata sahaja, masih berpeluang mencipta kejutan untuk layak ke pusingan seterusnya.

"Kami ada peluang tidak ambil.

"Memang rugi kami tidak dapat mengambil tiga mata tetapi mujurlah kami berpeluang lagi apabila berdepan Felda United.

"Nampaknya kami juga pakar seri," kata ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan.

Begitupun, dengan baki hanya tiga hari lagi sebelum sepak mula aksi penentuan kumpulan, kegusaran utama kedua-dua jurulatih itu adalah kecederaan pemain yang mungkin merencatkan strategi pasukan.

"Bagi saya, keempat-empat pasukan berpeluang untuk layak.

"Pasukan yang menang akan layak, jadi semua (pasukan) akan berikan segala-galanya.

"Apabila menentang PDRM di tempat sendiri, kami nak layak ke suku akhir tetapi kami harus tingkatkan persembahan, itu yang amat penting sekali," ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan.