Kemampuan Selangor meledakkan satu gol ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Larkin malam tadi disifatkan amat penting walaupun kalah tipis.

Ketua jurulatihnya, B. Sathiananthan, berkata ini kerana gol tersebut bakal memberi kelebihan dan keyakinan kepada skuad Gergasi Merah itu untuk mencipta kejutan apabila bertemu semula dengan JDT dalam perlawanan timbal balik, Sabtu ini bagi penentuan ke peringkat akhir.

“(Jaringan) ini merupakan satu petanda yang baik tetapi tugas kami belum lagi berakhir kerana perlu bekerja keras minggu ini bagi mendapatkan hasil keseluruhan yang baik,” katanya dalam sidang media sejurus tamat perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, lewat malam tadi.

Mengulas perlawanan itu, bekas pengendali kebangsaan itu berkata pujian seharusnya diberikan kepada semua anak buahnya, terutama pemain tengah, Sandro da Silva, dan penyerang, Ifedayo Olusegun, kerana telah menunjukkan komitmen dan aksi yang cemerlang.

“Separuh masa pertama kami kelam-kabut. Apabila dapat bola, kami cepat sangat hilang bola. Itu kelemahan yang nyata tetapi memasuki babak kedua, kami sudah membina momentum dan mencipta banyak peluang, ini yang menjadikan permainan nampak lebih menarik.

"Kepada Sandro, saya ucapkan syabas walaupun tidak pernah main selama dua setengah bulan. Dia telah dapat mengawal dan memegang bola dengan baik sekali, begitu juga Ifedayo. Saya sukakan rentak yang dilakukannya dan berharap ia dapat diteruskan ketika beraksi di Shah Alam nanti,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, berkata tugas getir menanti pasukannya dalam pertemuan kedua nanti apabila harus memastikan pihak lawan tidak menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan.

“Tetapi saya mempunyai kata hati (firasat) bahawa JDT akan dapat menjaringkan gol kerana itu yang sentiasa dilakukan pasukan setiap kali bermain di tempat lawan. Apapun, ini adalah bola sepak. Kami tidak boleh terlalu selesa, apatah lagi Selangor juga mempunyai keinginan untuk menang dan mara ke final,” katanya.

Dalam perlawanan mendebarkan malam tadi, skuad Harimau Selatan itu mencatatkan kemenangan 2-1 hasil jaringan Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez pada minit ke-14 dan 48 manakala gol Selangor disempurnakan oleh Ifedayo pada minit ke-17.

-- BERNAMA

Kredit foto: FA Selangor