SELANGOR 1 PDRM 1

Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor, gagal memanfaatkan laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang PDRM dalam aksi ketiga Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam ini.


Keputusan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah itu kini mengumpul lima mata di kedudukan kedua dan dipisahkan hanya satu mata dengan pendahulu, Melaka, yang membenam Felda United 3-1 dalam aksi kumpulan, semalam.

Saingan Kumpulan D untuk memburu dua slot ke peringkat suku akhir masih terbuka dengan satu mata berjaya dicuri PDRM malam ini membolehkan skuad bimbingan E. Elavarasan itu mengumpul empat mata untuk terus memberi tekanan kepada Melaka dan Selangor.

Dalam aksi disaksikan 2,110 penonton itu, pemain PDRM, Argzim Redzovic, menafikan kemenangan tuan rumah selepas pertahanan itu menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-59, tujuh minit setelah Selangor meledak gol pembukaan menerusi Sandro da Silva.

Tersentak dengan itu, Sathianathan membawa masuk dua penyerang, Amri Yahyah dan Sean Eugene Selvaraj dalam usaha memburu gol kemenangan, namun kekemasan benteng pertahanan PDRM berjaya mengekang hasrat Selangor meraih kemenangan di laman sendiri.

Sementara itu, episod berbeza dialami PJ City FC selepas skuad dibimbing K. Devan itu berjaya mempertahankan satu gol untuk mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan UiTM FC 1-0 dalam saingan Kumpulan B di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Penyerang import dari Timor Leste, Pedro Henrique Cortes Oliveira Gios, muncul wira pasukan menerusi gol tunggal perlawanan pada minit ke-29.

PJ City FC kini mengumpul enam mata di kedudukan kedua untuk mengekori rapat juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta'zim (JDT), selaku pendahulu Kumpulan B dengan tujuh mata.

-- BERNAMA