Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, membalas kritikan yang dilemparkan ke atas pasukannya dengan kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu memastikan skuad Gergasi Merah itu ke separuh akhir dengan kelebihan agregat 3-2 selepas tewas 0-1 dalam aksi pertama di Ipoh minggu lalu.

Khyril Muhymeen Zambri memainkan watak wira buat juara 33 kali itu dengan menjaringkan gol berganda susulan jaringan pembukaan Syazwan Zainon dalam babak pertama.

Brendan Gan muncul penjaring tunggal Perak di Shah Alam, namun laporan media tempatan yang melaporkan Selangor akan 'bungkus' awal selepas kekalahan di Ipoh sebelum ini mencetuskan berang Sathianathan.

Dalam sidang media selepas perlawanan, dia berkata: "Kami tidak membaca akhbar yang menyatakan kami akan bungkus.

"Jadi, mereka yang akan bungkus.

"Saya akan gunakan akhbar itu untuk bungkus nasi lemak.

"Mereka perlu tahu apa yang patut ditulis.

"1-0 (kemenangan Perak di Ipoh) tiada apa-apa.

"Pemain saya telah memaparkan perwatakan yang besar.

"Perak adalah pasukan yang kuat, mereka memberikan cabaran yang hebat.

"Tetapi saya tahu kami sudah bersedia untuk perlawanan ini.

"Seperti yang saya katakan di Ipoh, biarkan semua penyokong datang kerana pemain kami sudah tidak sabar untuk beraksi," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengakui ketumpulan penyudah di bahagian serangannya menjadi pemisah dalam perlawanan itu.

"Alangkah baik jika kami dapat menyudahkan beberapa peluang terhidang pada awal permainan.

"Apabila anda tidak menyudahkan peluang, anda akan dihukum.

"Pujian harus diberikan kepada Selangor kerana memenangi perlawanan ini," katanya.