Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, optimis dengan kemampuan barisan pemainnya untuk menjulang skuad Gergasi Merah itu sebagai juara Piala Malaysia, bermula Jumaat ini.

Selepas menamatkan Liga Super di tempat ketiga, Selangor akan membuka kempen Piala Malaysia dengan menentang Felda United di Shah Alam, Sabtu ini.

Untuk rekod, The Red Giants menang sekali dan seri sekali dengan lawan itu dalam saingan liga.

"Memang kita kena waspada dengan Felda walaupun mereka menduduki tempat ke-10 dan kami ketiga (dalam liga).

"Felda, selepas menewaskan Kedah, kita boleh nampak bahawa mereka telah menyajikan persembahan yang amat baik.

"Saya ada pemain yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang tahun ini.

"Daripada perlawanan pertama hingga yang ke-22, saya boleh nampak perbezaan.

"Saya harap mereka akan terus kekalkan momentum.

"Perlawanan pertama memang penting.

"Kami tidak boleh mengambil mudah dan perlu memberikan yang terbaik," katanya.