Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, tidak bimbang dengan tiga tonggak pasukannya yang sedang menabur bakti bersama skuad kebangsaan.

Menurutnya, dia tidak akan melatah sekiranya penjaga gol, Khairulazhan Khalid, Abdul Halim Saari (tengah) dan Syahmi Safari (pertahanan), yang terpilih mewakili negara untuk berdepan Vietnam dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 Khamis ini, pulang ke pangkuan pasukannya dengan kecederaan.

Walaupun mengakui kepentingan ketiga-tiga pemain itu, Sathianathan tidak mahu bergantung kepada satu perancangan semata-mata menjelang aksi bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Larkin, 19 Oktober ini.

"Saya tidak bimbang apabila mereka berada di bawah (kendalian) Tan Cheng Hoe dalam skuad kebangsaan.

"Kerana mereka akan bersama pemain yang berkualiti, jadi latihan mereka juga berkualiti.

"Kalau nasib kami kurang baik dan mereka cedera, kami kena terima," katanya.

Dalam masa sama, jurulatih itu lega dengan perkembangan tahap kecergasan tiga pemainnya, iaitu Sandro Da Silva, Syazwan Zainon dan Ifedayo Olusegun, walaupun sesi latihan pasukannya terjejas kerana hujan.

"Persediaan berjalan lancar tetapi tidak berapa lancar kerana hujan.

"Di mana-mana sahaja hujan.

"Itu bukan alasan tetapi susah hendak gunakan padang.

"Kami terpaksa berlatih di dalam hujan dan beberapa pemain sudah demam.

"Tetapi ia bukan hanya masalah buat Selangor, saya pasti mana-mana pasukan juga sama," tambahnya.