Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, tidak bimbang dengan keadaan tiga pemain kebangsaan yang belum melaporkan diri bersama pasukan itu biarpun aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) berbaki lima hari sahaja lagi.

Memasuki minggu terakhir sebelum pertemuan di Larkin itu, Selangor kini giat melakukan persiapan.

Sathianathan sedang fokus bagi memastikan anak buahnya meraih keputusan positif untuk dijadikan bekalan menjelang pertemuan kedua di Stadium Shah Alam.

Namun, beberapa pemain yang menyertai skuad kebangsaan seperti Khairul Azhan Khalid, Syahmi Safari dan Abdul Halim Saari masih belum melaporkan diri dan dijangka menyertai latihan penuh skuad Gergasi Merah itu esok.

Kelibat tiga pemain itu sudah pasti ditagih dan bagi bekas pengendali kebangsaan itu, dia tidak risau dengan situasi yang melanda pasukannya.

"Kami kena tahu bahawa masih ada lima atau enam hari untuk mempersiapkan diri. Saya tidak risau tentang pemain kebangsaan kerana mereka sudah berlatih, malah ada yang beraksi. Halim beraksi ketika berdepan Vietnam, jadi saya tidak risau," katanya.

"Bagi saya, mereka adalah tonggak utama Selangor. Saya sudah berikan cuti sehingga petang ini, jadi mereka akan melaporkan diri ketika sesi kedua latihan nanti."