Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, tidak menuding jari kepada individu, sebaliknya menegaskan mereka perlu menyalahkan diri sendiri di sebalik kegagalan meraih tiga mata ke atas PDRM FA dalam aksi Kumpulan D, Piala Malaysia, semalam.

Sathianathan mencetus sensasi apabila menganggap kegagalan pasukannya melakar kemenangan ketika bertemu PDRM di Stadium Shah Alam, Ahad lalu, berpunca daripada seorang individu.

Mendakwa pemain itu melakukan kesilapan berulang, bekas jurulatih negara tersebut berhasrat untuk mengetepikannya dalam pertemuan kedua di Stadium Hang Jebat, semalam.

Namun, dia tidak berbuat demikian apabila tetap menyenaraikan pemain itu tatkala The Red Giants sekali lagi kempunan tiga mata selepas terikat 2-2 ketika bertemu The Cops.

"Saya puas hati dengan dua mata (termasuk aksi sebelum ini). Sepatutnya ada satu sepakan percuma dan sepakan penalti tetapi pengadil tidak menunjukkan sebarang isyarat. Di sini, tiada Video Bantuan Pengadil (VAR), jadi susah. Namun, kami harus salahkan diri sendiri. Tidak ambil peluang kemudian dua jaringan lawan terhasil daripada situasi satu lawan satu,'" katanya.

Dalam aksi semalam, Selangor yang terlebih dahulu ketinggalan mempamer kebangkitan menerusi jaringan Taylor Regan dan Ifedayo Olesegun dalam babak kedua.

Namun, hasrat juara Piala Malaysia 33 kali itu untuk mencapai kemenangan kedua dalam Kumpulan D tidak kesampaian susulan lawan berjaya bangkit di lewat permainan.

Sementara itu, pengendali PDRM, E. Elavarasan, lega percaturan berani mati membuahkan hasil selepas Lee Changhoon menghasilkan gol penyamaan walaupun dimasukkan ketika dirinya dilanda kecederaan.

"Selepas ini kalau menang, ia adalah lebih baik untuk pasukan melangkah ke pusingan kedua.

"Tiga pasukan dalam kumpulan ini, termasuk Melaka, perlu lebih berusaha kerana perbezaan mata yang tidak banyak. Mana-mana pasukan yang menang dalam aksi akan datang meraih mata penting untuk berada di kedudukan lebih baik dalam kumpulan," katanya.