"Ada akhbar kata kami bungkus. Saya gunakan akhbar itu untuk membungkus nasi lemak saya."

Itu reaksi pengendali Selangor, B. Sathianathan, sebagai menjawab kritikan segelintir peminat selepas pasukannya berjaya ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

Ia menunjukkan betapa kecewa pengendali itu apabila dikecam selepas tewas 0-1 dalam aksi suku akhir pertama menentang Perak tatkala dia diletakkan sasaran untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini.

Namun, anak buahnya bangkit di laman sendiri untuk meraih tiga gol bagi memusnahkan impian pihak lawan yang bertandang dengan kelebihan satu jaringan di Stadium Shah Alam, semalam.

Baginya, kejayaan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah itu berada di tahap lebih memberangsangkan berbanding tahun sebelum ini.

"Perak adalah pasukan yang kuat, mereka memberikan saingan sengit tetapi kami mempersiapkan diri dengan baik.

"Seperti saya katakan ketika di Ipoh, biarkan penyokong datang dan pemain akan buktikan kemampuan. Itu adalah kemenangan," katanya.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmet Durakovic, mengakui persembahan luar biasa pasukan tuan rumah meleburkan impian mereka untuk mengekalkan gelaran juara dan enggan membincangkan isu gol Khyril Muhymeen Zambri yang tampak seperti dalam kedudukan ofsaid.

"Selangor mempamerkan aksi hebat, berjuang dan kadangkala anda memerlukan tuah. Penjaga gol mereka (Khairul Azhan Khalid) melakukan aksi hebat ketika perlawanan dan kami tidak bernasib baik," katanya.