"Tidak mahu main baik, duduk rumah."

Itu kenyataan pedas jurulatih Selangor, B. Sathianathan, yang berang dengan aksi longlai pemainnya selepas skuad Red Giants itu terikat 1-1 ketika menentang PDRM FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemarahan pengendali itu ditujukan kepada seorang pemain yang dianggapnya melakukan kesilapan berulang.

Merujuk kepada situasi pasukannya yang dibolosi hasil sepakan percuma lawan, Sathianathan juga mendedahkan beberapa pemain lain turut gagal memberi komitmen tinggi.

Tanpa berselindung, bekas jurulatih kebangsaan itu mengakui individu terbabit akan disisihkan dalam perlawanan berikutnya sebagai satu pengajaran.

"Pemain yang tidak mahu main tersebut boleh duduk rumah. Saya nak pemain yang betul-betul nak main.

"Ada 2-3 pemain yang saya mahu tegur. Kalau saya tidak mahu dia, saya (sama sekali) tidak akan membawanya ke mana-mana. Biar dia sedar diri dan berehat.

"Saya terpaksa mengambil risiko ini tetapi (tindakan) ini terpaksa dibuat. Itu di antara saya dan pemain," kata Sathianathan.

Dalam perlawanan itu, skuad Merah Kuning mendahului perlawanan hasil jaringan Sandro da Silva pada minit ke-52, namun PDRM menyamakan kedudukan menerusi Argzim Redzovic, enam minit kemudian.

Berpuas hati dengan satu mata yang diraih The Cops, pengendalinya, E. Elavarasan, memuji kesungguhan pemain untuk bangkit mengikat lawan.

"Satu mata penting kerana kami berdepan sebuah pasukan yang lebih baik daripada kami.

"Satu mata ini dikira baik tetapi sempena pertemuan pusingan kedua, nasib kami mungkin 50-50 sebab Selangor memerlukan tiga mata," ujar jurulatih berusia 54 tahun itu menjelang pertemuan di Stadium Hang Jebat, Rabu depan.