Setiausaha Agung PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin, menetapkan sasaran ke separuh akhir Piala Malaysia walaupun mereka gagal memberikan impak besar dalam Liga Super.

Skuad Semut Merah tampak melewati prestasi merudum dalam saingan liga jika dibandingkan musim lalu.

Namun, itu tidak menjadi halangan buat pengurusan PKNS untuk mengintai kedudukan yang lebih baik dalam saingan tertua di Asia itu, iaitu sekurang-sekurangnya ke peringkat separuh akhir dan secara tidak langsung mengatasi pencapaian suku akhir musim lalu.

"Kami bukanlah mahu memberi tekanan kepada barisan kejurulatihan dengan sasaran yang di luar keupayaan.

"Tetapi kami mahukan barisan kejurulatihan cuba mempersiapkan pasukan dengan sebaiknya agar PKNS dapat memberikan saingan yang lebih kompetitif," ujarnya.

Biarpun disenaraikan dalam Kumpulan B yang menampilkan Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan, kredibiliti skuad bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, itu bingkas ditagih untuk mempamerkan peningkatan.

Di sebalik Kedah tampil selaku pasukan pilihan, PKNS bagaimanapun tidak berasa kerdil untuk mengisi dua slot automatik ke peringkat seterusnya.

"Jodoh kami dengan Kedah amat kuat.

"Selain aksi Liga Super, kami juga telah bertembung dalam Piala FA.

"Kami berasakan Kedah merupakan pencabar utama dalam Kumpulan A, Terengganu juga adalah pasukan yang bagus sambil kami tidak boleh memandang ringan kemampuan mereka," tambahnya.