Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, menjadikan watak picisan pada 2017 sebagai pembakar semangat untuk menjulang Piala Malaysia apabila bertemu Kedah dalam aksi final Sabtu ini.

Safawi kempunan beraksi bersama JDT di pentas final Piala Malaysia 2017 yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menewaskan Kedah 2-0 untuk meraih kejuaraan berkenaan.

Sebaliknya, pemain kelahiran Terengganu itu sekadar menyaksikan perlawanan itu di bangku penonton susulan gagal mendapat tempat dalam skuad akhir 18 pemain.

Namun, kali ini Safawi akan memikul tugas penting, sekali gus mahu menebus kehampaan tidak beraksi dua tahun lalu dengan memastikan kemenangan sekali lagi menjadi milik JDT.

"Saya mahu menjulang Piala Malaysia kali ini kerana dua tahun lalu tidak dapat membantu pasukan dalam aksi final. Tahun ini saya akan cuba yang terbaik untuk memenanginya untuk JDT," katanya.

Pemain berusia 22 tahun itu menjadi nadi utama kejayaan JDT ke atas Selangor apabila meledak jaringan hatrik untuk memastikan kemenangan 3-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sudah pasti, kelibatnya akan terus ditagih dan kali ini bagi misi merobek gawang Lang Merah pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, ini mungkin rezeki saya dan usaha daripada rakan sepasukan."