Pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak menerima insentif RM10,000 dan satu lot tapak rumah setiap seorang daripada kerajaan negeri berikutan kejayaan memenangi Piala Malaysia, 27 Oktober lalu.

Ketika mengumumkan pemberian ganjaran itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata insentif itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai kesemua pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun.

Katanya, insentif itu tidak termasuk insentif yang diberikan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan ini adalah inisiatif kerajaan negeri sendiri.

PAFA sebelum ini mengumumkan ganharan RM15, 000 setiap seorang berikutan kejayaan mara ke final trofi unggul itu.

“Selain insentif yang akan diberikan PAFA, kerajaan negeri akan menambah insentif RM10,000 setiap pemain dan satu lot tapak rumah selain pingat yang diberikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam.

“Lot tapak rumah itu saya kurang pasti di mana kerana ia akan diuruskan oleh Pengarah PTG (Pejabat Tanah dan Galian).

“Insentif diberikan PAFA juga saya tidak pasti berapa kerana masalah sekarang di PAFA ini, presiden (Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim) baru sahaja meletak jawatan, namun kerajaan negeri akan menyerahkan insentif itu secepat mungkin,” katanya selepas Majlis Meraikan Piala Malaysia dan Piala Razak di Dataran Pavilion, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, turut berkenaan meraikannya bersama pemain serta pegawai pasukan bola sepak dan hoki Perak.

Perak berjaya menamatkan kemarau 18 tahun dengan menumpaskan Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam menerusi sepakan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Skuad hoki Perak pula berjaya memenangi Piala Razak dengan menewaskan negeri yang sama, iaitu Terenggnu, juga menerusi penentuan penalti 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga akan membincangkan insentif yang akan diberikan kepada skuad hoki Perak selepas kejayaan mempertahankan Piala Razak.

“Sebentar tadi, saya dapat bisikan daripada pemain dan pegawai Piala Razak dan kita juga akan memikirkan insentif kepada mereka. Saya tidak membuat pengumuman hari ini kerana perkara itu masih belum dibincangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Tentulah kita perlu berbangga dengan kejayaan skuad hoki Perak memenangi Piala Razak,” katanya.