Tonggak pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, sedia berkongsi 'tips' kepada pengganti yang bakal mengisi kekosongannnya menjelang pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam final Piala Malaysia, malam ini.

Rizal tidak dapat beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil memandangkan dia mengutip kad kuning ketika separuh akhir menentang Pahang di Kuantan, Sabtu lalu.

Sebelum itu, dia sudah pun dalam keadaan bahaya apabila memperoleh satu kad kuning ketika peringkat suku akhir.

Biarpun dia dan rakan sepasukan, Renan Alves, tidak dapat beraksi ekoran penggantungan, Rizal sedia berkongsi maklumat dengan penggantinya yang akan berdepan trio berbisa lawan, Safawi Rasid, Diogo Santo serta Gonzalo Cabrera.

"Saya yakin dengan pemain yang ada. Setiap pemain bersama jurulatih bersatu hati. Diharapkan sesiapa yang diberi peluang bermain akan beraksi dengan persembahan terbaik," katanya.

Setakat ini, ketua jurulatih skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, masih merahsiakan individu yang akan membarisi benteng pertahanan Kedah malam ini.

"Final memang lain, berbeza dengan liga. Semua akan turun dengan komitmen lebih daripada biasa tetapi kami belum tahu siapa yang akan beraksi," tambah Rizal.

Kredit foto: MFL