Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, memberi peringatan kepada pemain-pemainnya agar tidak bersikap sambil lewa dalam aksi pertama Kumpulan B, Piala Malaysia bertemu PDRM FA malam ini selepas melihat kejutan yang dilakar dua pasukan Liga Perdana, Felcra FC dan Sabah.

Menjelang aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka, Rajagobal mengingatkan seluruh pasukannya agar tidak leka dan memandang rendah cabaran lawan sekiranya tidak mahu menerima padah.

Bagi bekas pengendali skuad kebangsaan itu, kejayaan Felcra dan Sabah mengikat Perak dan Pahang di laman lawan malam tadi menjadi bukti bahawa pentas Piala Malaysia mampu menjadi milik sesiapa sahaja.

"Dalam Piala Malaysia, kita tidak boleh mengatakan bahawa mana-mana pasukan menjadi pilihan. Keputusan yang dihasilkan Felcra dan Sabah menjadi peringatan buat pemain-pemain. Begitu juga dengan PKNP FC yang mengutip keputusan positif.

"Mereka harus fokus dan peka dengan setiap arahan yang telah diberikan," katanya.

Dalam masa sama, PKNS turut dihimpit krisis kekurangan pemain apabila Jafri Firdaus Chew disahkan terpaksa berehat, kemungkinan antara dua hingga tiga bulan kerana mengalami kecederaan paha yang serius.

Menambahkan keperitan dalam pasukan, Rajagobal juga berdepan dilema di bahagian pertahanan tengah kerana kehilangan Azmizi Azmi serta M. Sivakumar manakala khidmat Rodney Celvin Akwensivie terpaksa dilupakan selepas menyertai persiapan skuad negara untuk ke Sukan Asia 2018.

"Kami sedar bahawa Jafri mengalami kecederaan paha dan pemain-pemain lain juga ada yang turut berdepan masalah sama. Saya perlu fikirkan tentang pemain lain yang ada walaupun kehilangan tonggak utama dalam pasukan."