Jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, menuntut kecemerlangan anak buah bagi membantunya melunas hasrat ke pentas final Piala Malaysia selepas gagal berbuat demikian bersama Kelantan dan Selangor.

"Ketika saya mengendalikan Selangor dan Kelantan, saya sekadar menamatkan saingan dalam separuh akhir. Bersama Terengganu, kami menyedari terdapat banyak saingan yang ditampilkan oleh pasukan lain," katanya.

Rekod Rajagobal sepanjang kariernya bergelar jurulatih, hanya pentas separuh akhir sebagai pencapaian terbaik dalam saingan Piala Malaysia.

Bersama PKNS yang merupakan pasukan banyak berjasa kepadanya, bermula sebagai staf PKNS, pemain dan juga jurulatih, Rajagobal mahu mengakhiri saingan Piala Malaysia musim ini dengan kenangan yang lebih manis.

Bakal berkunjung ke Ipoh dalam saingan pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia, Rajagobal tidak kisah andai PKNS dilabel sebagai pasukan hingusan.

Hakikatnya, skuad PKNS akan diberikan tugasan penting dalam usaha memastikan gerakan anak buah Mehmet Durakovic, terutama melibatkan pemain import, tidak mudah merencana asakan ke kubu PKNS.

"Perak adalah pasukan pilihan. Tetapi PKNS menampilkan peningkatan dan usaha pemain menyaksikan kami berjaya mara ke suku akhir," kata Rajagobal.