PKNS FC muncul pasukan pertama tersingkir daripada Kumpulan A, Piala Malaysia 2019 setelah dikejutkan kebangkitan Negeri Sembilan dalam aksi yang diselubungi jerebu di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu nyaris ditunda kerana indeks pencemaran udara (IPU) di tahap membahayakan kesihatan (melebihi catatan 150).

Namun, setelah mendapat persetujuan daripada komisioner perlawanan, Zahrul Nizam Salleh, serta kata sepakat daripada kedua-dua belah pihak jurulatih, ia tetap diteruskan.

Bagaimanapun ia bagaikan mimpi buruk buat PKNS setelah gawang mereka dirobek tiga kali, masing-masing menerusi Ferris Danial Mat Nasir, gol sendiri oleh Tamirlan Kozubaev serta Igor Luiz meranapkan impian Semut Merah untuk mara ke pusingan seterusnya.

Justeru, perlawanan terakhir mereka menentang Terengganu, Selasa depan hanyalah sebagai pelengkap jadual memandangkan jurang mata yang jauh untuk dikejar dalam Kumpulan A.

"Ya, saya tahu kami kalah walaupun bermain baik (malam tadi), begitu juga ketika menentang Kedah.

"Dua kali kami mendahului perlawanan, jadi saya amat kecewa dengan sikap pemain saya secara keseluruhannya," kata bekas jurulatih Harimau Malaya itu.

Tiga mata yang diraih Negeri Sembilan itu juga menghidupkan kembali peluang Skuad Jang untuk mencabar satu lagi slot ke pusingan kalah mati memandangkan sebelum ini mereka dijangka akan tersingkir awal.

"Kami akan mencuba (untuk layak) sambil mengharapkan semangat pemain berterusan ketika beraksi di Kedah kelak," kata jurulatih pasukan Hoben Jang Hoben, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad.