Penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun, mempertahankan prestasi hambarnya dalam kempen Piala Malaysia apabila menganggap kerjasama berpasukan lebih penting berbanding pencapaian peribadi.

Persembahan penyerang itu dalam kempen Piala Malaysia tampak kurang menyengat berbanding aksinya dalam kancah Liga Super musim ini.

Pemain kelahiran Nigeria itu sekadar menghasilkan dua gol daripada empat perlawanan berbanding 12 jaringan yang dihasilkannya dalam saingan liga.

Walaupun berjaya membantu The Red Giants meraih jaringan ketika seri 2-2 dengan PDRM FA semalam, dia ternyata masih belum menunjukkan keupayaan sebenarnya.

"Ia bukan tentang saya tetapi seluruh pasukan. Saya tidak boleh mendapatkan bola daripada sepakan gol dan jelmakan jaringan. Walaupun jika sebagai seorang penyerang, saya tidak dapat hasilkan gol tetapi pasukan meraih tiga mata, anda akan gembira," katanya.

Sementara itu, penjaga gol PDRM, Shahril Saari, menganggap skuad Sang Saka Biru berada di landasan tepat untuk meloloskan diri ke peringkat kalah mati.

Keyakinan penjaga gol kelahiran Terengganu itu hadir selepas pasukannya sekali lagi melakukan kebangkitan untuk mengikat Selangor di Melaka.

"Sememangnya peluang masih terbuka dalam kumpulan ini. Untuk aksi akan datang, kami cuba dapatkan mata maksimum untuk mara ke suku akhir," katanya.