Pahit dalam manis, itu yang boleh disimpulkan di sebalik kemenangan 2-0 skuad negara ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi persahabatan B-23 yang tercemar ekoran insiden pergaduhan di antara kedua-dua pasukan pada penghujung perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, mempertahankan tindakan anak buahnya yang terlebih dahulu diserang oleh pemain-pemain UAE dalam aksi persiapan akhir menjelang Sukan Asia Indonesia 2018 itu.

Menurutnya, dalam situasi terbabit, mereka tiada pilihan selain terpaksa mempertahankan diri selain mengakui tiada sebarang provokasi dimulakan mana-mana pemain negara.

Malah, beliau menjelaskan kesukaran pihak lawan menerima kekalahan turut menjadi punca utama kenapa insiden pergaduhan itu tercetus.

"Insiden ini jelas sekali dimulakan oleh pihak lawan. Kami perlu mempertahankan diri sendiri.

"Pegawai perlawanan juga terpaksa melindungi pemain kebangsaan. Ia sesuatu yang perlu dibuat untuk melindungi diri siapa sahaja yang boleh.

"Seperti yang saya katakan, insiden ini dicetuskan pihak lawan. Kami tidak membuat sebarang provokasi dan kalau ada, saya boleh menuding jari kepada anak buah saya.

"Malah, saya sering menegah pemain saya daripada melakukan perkara seumpama itu," kata Kim Swee.

Mengenai kemenangan ke atas UAE, Kim Swee menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya yang memperagakan peningkatan menjelang Sukan Asia.

"Selepas bertemu China dan UAE, banyak kelemahan yang dapat diatasi, terutama tidak dibolosi.

"Bahagian pertahanan memainkan peranan yang cukup penting," tambahnya.

Dua gol kemenangan pasukan negara disumbangkan dalam setiap separuh masa menerusi Safawi Rasid pada minit ke-27, diikuti gerakan individu menarik Akhyar Rashid pada minit ke-64.

Dalam perkembangan sama, dua pemain yang terbabit dalam insiden awal pergaduhan itu, Irfan Zakaria dan Syazwan Zaipol Bahari, mempunyai penjelasan mengapa mereka berani mengambil tindakan sedemikian.

"Semasa pelanggaran itu, UAE cuba melancarkan serangan balas dan pada masa sama, seorang lagi pemain Malaysia, Adib Zainudin, ditumbuk pemain lawan. Kemudian pemain UAE itu menuju ke arah saya lalu saya tidak boleh mengawal perasaan lagi," kata Irfan.

Menurut Syazwan pula, "Kami tidak boleh tengok rakan sepasukan tumbang. Kami ibarat adik-beradik dalam pasukan ini.

"Kalau ia melibatkan situasi 50-50, tidak mengapalah dengan syarat kami tidak buat silap.

"Lagipun, Adib cuma menghalang lariannya, tiba-tiba pemain itu naik tangan."

Sementara itu, ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran yang perlu diambil oleh pemain-pemain muda negara.

"Insiden tadi mungkin melibatkan emosi, apatah lagi hidung Adib berdarah dan ada pemain yang tidak dapat mengawal emosi.

"Ini satu pengalaman yang boleh kami ambil untuk menghadapi Sukan Asia nanti," ujar ketua pasukan, Baddrol.