Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, percaya peluang masih terbuka buat pasukannya ke suku akhir Piala Malaysia 2019 jika anak buahnya mengekalkan fokus dalam baki dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Biarpun ketika ini skuad Semut Merah berada di kedudukan ketiga Kumpulan A dengan perbezaan tiga mata di belakang Kedah, bekas jurulatih kebangsaan itu tetap meletakkan kepercayaan kepada anak buahnya.

Keputusan saingan peringkat kumpulan menyaksikan mereka merakamkan satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan, justeru Rajagobal menuntut barisan pemainnya supaya mengekalkan ketekalan mereka selain terus memberi tumpuan penuh dalam perlawanan.

"(Kami) masih ada peluang lagi. Kami perlu membuat persiapan (rapi) menjelang dua baki perlawanan (peringkat kumpulan).

"Kami bukan sahaja perlu mencuba, malah memenanginya," katanya di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, semalam.

Beliau juga berharap skuad bimbingannya itu mampu mendapatkan semula rentak kemenangan dalam pertemuan kedua menentang Negeri Sembilan, Jumaat depan.

Sebelum ini, kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu menewaskan skuad Hobin Jang Hobin itu 2-1 di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, 7 Ogos lalu.

"Semua perlawanan bukannya mudah. Kami hanya perlukan keyakinan walaupun sedar Negeri Sembilan menang ke atas Terengganu.

"Kami tiada pilihan lagi apabila perlu turun dengan keyakinan untuk mendapatkan tiga mata."