PKNP FC tidak dapat menggunakan khidmat pemain import, Amani Aguinaldo, bagi pertemuan dengan UiTM FC dalam Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini kerana masih belum pulang dari Filipina sehingga semalam.

"Aguinaldo diberi pelepasan menyertai pasukan kebangsaan Filipina dan sepatutnya pulang ke Ipoh tetapi sehingga kini belum muncul.

"Jadi, saya tidak dapat menurunkan pemain itu untuk perlawanan ini," kata ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim.

Bagaimanapun, pengendali itu tidak bimbang dengan ketiadaan Aguinaldo kerana mempunyai pemain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan.

Abu Bakar, yang tidak terlibat dalam dua perlawanan terakhir kerana menghadiri kursus diploma anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL), berharap pemain PKNP akan memberi persembahan terbaik mereka, malam ini.

Katanya, mereka perlu menang baki dua perlawanan, termasuk dengan PJ City FC pada 17 September ini untuk menghidupkan sisa peluang mereka ke suku akhir.

Lebih penting, pasukannya perlu membuktikan kemampuan mereka agar dapat meyakinkan pengurusan tertinggi pasukan.

Ketika ini, PKNP ibarat bahtera tanpa nahkoda berikutan peletakan jawatan presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, serta kedudukan setiausaha, Manan Din, yang samar-samar selepas ditukarkan ke Kuala Lumpur.

Kredit foto: PKNP