UITM FC 0 PJ CITY 2

Petaling Jaya City FC mengukuhkan kedudukan selaku pasukan kedua terbaik Kumpulan B selepas menewaskan UiTM FC 2-0 dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.


Biarpun UiTM FC dilihat lebih mendominasi permainan, PJ City memaparkan penyudah yang lebih berkesan di depan gawang menerusi jaringan Washington Brandao dan K. Satish dalam setiap babak.

Sebanyak 12 percubaan dihasilkan skuad kendalian K. Devan itu dengan lima daripadanya tersasar sambil lima lagi diselamatkan benteng pertahanan tuan rumah yang diketuai penjaga gol, Azfar Arif.

Namun, dua daripada percubaan itu menghasilkan gol yang dimulakan Brandao dengan melakukan gelecekan sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menewaskan Azfar pada minit ke-32.

PJ City, yang turun dengan seragam serba merah, menambah satu gol lagi dalam babak kedua apabila Satish memanfaatkan bola muntah susulan percubaan awal Brandao untuk memberikan pasukannya kemenangan ketiga daripada empat perlawanan peringkat kumpulan.

Dengan keputusan itu, PJ City kini di tangga kedua dengan sembilan mata, satu mata di belakang pendahulu kumpulan, Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala UiTM FC kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.