SABAH 2 SELANGOR 1

Pemain gantian sekali lagi menjadi wira Sabah apabila mereka bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum membenam Selangor 2-1 dalam aksi kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.


Bagaimanapun, Sabah terpaksa berhempas-pulas apabila lebih dahulu ketinggalan sebelum berjaya mengatasi The Red Giants.

Pada awalnya, Selangor memiliki peluang menerusi dua percubaan penyerang import mereka, Rufino Segovia, pada minit ke-4 dan ke-5, namun ia diselamatkan penjaga gol Sabah manakala satu lagi rembatannya sekadar singgah di tepi jaring.

Beraksi di hadapan lebih 5,000 penyokong, Sabah mencemaskan pintu gol Selangor pada minit ke-15 menerusi tandukan Rodoljub Paunovic, namun tersasar walaupun ketika itu dia tidak dikawal.

Bermula babak kedua, pertahanan import Selangor Willian Pacheco hampir meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-53, bagaimanapun, tandukannya hasil satu sepakan sudut berjaya diselamatkan Alto Linus di atas garisan gol.

Selangor kemudian terus garang memburu gol dan kali ini, rembatan Amri Yahyah pada minit ke-60 pula terkena palang walaupun penjaga gol Sabah, Rozamie Rohim, telah tertewas.

Walaupun diserang beberapa kali, Sabah hampir mendahului Selangor menerusi cubaan Paunovic, bagaimanapun, percubaanya pada minit ke-70 hasil hantaran cantik Ramos sekadar menggegarkan tiang gol lawan.

Pada minit ke-79, rembatan kencang Sean akhirnya berjaya menewaskan Rozaimie selepas mendapat lorongan Muhammad Faizzudin Mohd Abidin bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pemain gantian, Rahman Shah Marajeh, yang belum sampai seminit di atas padang kemudian menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol pada minit ke-82, seterusnya mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Dengan perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, seorang lagi pemain gantian, Ricco Nigel Milus, akhirnya mengesahkan kemenangan Sabah apabila membuat rembatan cantik dari luar kotak penalti pada masa kecederaan bagi menjadikan kedudukan 2-1 dan ia kekal sehingga tamat permainan.

Keputusan lain:

Kedah 3 MISC-MIFA 2
PKNP 0 Pahang 1
Terengganu 2 FELCRA FC 2