Pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, menyifatkan kejayaan mengikat Felda United terpaksa dibayar dengan harga yang mahal susulan kehilangan dua tonggaknya, Liridon Krasniqi dan Khairul Helmi Johari, untuk aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Nidzam ternyata belum mampu mengukir senyuman biarpun anak buahnya berjaya meraih satu gol di tempat lawan.

Sebaliknya, keresahan tampak melanda dirinya apabila memikirkan nasib yang menimpa Krasniqi dan Khairul Helmi, dengan kedua-duanya mengumpul dua kad kuning, sekali gus digantung satu perlawanan.

Juara bertahan Piala Malaysia itu juga bakal beraksi tanpa kelibat pemain sayap lincah, Syazwan Zainon, di Alor Setar nanti.

Pemain kebangsaan itu mengalami kecederaan hamstring dan memerlukan masa dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, Nidzam menghamburkan pujian kepada pemain-pemainnya yang memberi komitmen tinggi dalam usaha meraih keputusan positif di Jengka, malam tadi.

"Kami telah berjaya mencapai sasaran dalam perlawanan ini, iaitu membawa bekalan gol di tempat lawan, cuma agak terkilan kerana ada dua pemain yang akan digantung dalam perlawananan separuh akhir kedua nanti," katanya.

"Kami juga mempunyai pemain simpanan berkaliber. Kami akan membuat rancangan permainan yang baru untuk bermain dalam aksi timbal balik nanti."