Kapten pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi atau Piya menyifatkan juara bertahan, Kedah, adalah pasukan pilihan untuk mara ke peringkat suku akhir daripada saingan Kumpulan C, Piala Malaysia sambil The Red Warriors (TRW) akan berusaha menyingkirkan UiTM FC dan Melaka United.

Pilihan itu dibuat berdasarkan kekuatan semasa skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff itu yang sedang menduduki tangga ketiga dalam carta Liga Super buat masa ini.

“Sudah pasti juara bertahan, Kedah, menjadi lawan yang paling sukar dan calon pilihan untuk layak dalam Kumpulan C.

“Kami perlu menunjukkan aksi terbaik untuk menyingkirkan UiTM FC dan Melaka United jika berhajat untuk ke suku akhir,” katanya.

Piya menyifatkan kekalahan kepada Sarawak dalam saingan Liga Super kelmarin patut menjadi pengajaran berguna kepada TRW supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dengan membenarkan pasukan lawan menguasai permainan.

“Kami patut belajar daripada kekalahan 0-2 kepada Sarawak dan mulakan aksi dalam saingan Piala Malaysia dengan mencapai kemenangan ke atas UiTM FC di gelanggang sendiri,” katanya.

Ditanya faktor ‘kehilangannya’ semasa aksi menentang Sarawak, Piya mengakui mengalami kecederaan di bahagian paha semasa latihan dan terpaksa diketepikan pada saat-saat akhir oleh Pengarah Teknikal TRW, Alfredo Gonzales.

“Saya mengalami sedikit kecederaan di bahagian paha dan kini pulih sepenuhnya untuk beraksi menentang UiTM, malam esok. Apapun, bergantung kepada pihak pengurusan,” katanya.

Piya juga mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah kemampuan UiTM FC kerana mereka cukup bersemangat mencipta sejarah apabila layak kali pertama beraksi dalam saingan Piala Malaysia dan memiliki pemain import yang baik.

“Jangan terlalu yakin dan pandang rendah keupayaan UiTM FC kerana dalam saingan Piala Malaysia, sebarang kejutan boleh berlaku,” katanya.

Kelantan akan memulakan saingan Piala Malaysia menentang pasukan Liga Perdana, UiTM FC, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam esok manakala Kedah akan membuat perhitungan dengan Melaka United di Stadium Darulaman.