TERENGGANU FC II 1 JDT II 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) II bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Terengganu FC (TFC) II 2-1 dalam separuh akhir pertama Piala Cabaran di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Impak penyerang gantian, Darren Lok, serta bekas pemain Harimau Muda, S. Kumaahran, memastikan dua gol dibawa pulang skuad Harimau Selatan ke Pasir Gudang.

Kelancaran awal permainan banyak terhenti akibat kekasaran sehingga memaksa layangan kad kuning kepada Marcel N'Guessan, disusuli pertahanan JDT II, Hasbullah Abu Bakar dan Bruno Suares.

Peluang pertama hanya dimiliki pelawat pada minit ke-35 apabila tandukan Nicolas Fernandez, yang menerima umpanan Syazwan Andik Ishak, mudah dibaca penjaga gol TFC II.

Lima minit kemudian, giliran Bruno Suzuki melakukan percubaan leret dari luar kotak penalti yang ditepis Haziq Nadzli untuk memberikan sepakan sudut kepada tuan rumah.

Hasrat JDT II untuk memecahkan kebuntuan tidak berhasil apabila kuisan Rozaimi Abd Rahman dari jarak dekat dinafikan Mohd Sharmiza Yusoff pada minit ke-45.

Babak kedua lebih rancak dengan serangan tuan rumah bermula dengan sepakan percuma Ahmad Takhiyuddin Roslan (m-52) yang melencong ke sebelah kiri pintu gol JDT II.

Gol dicari-cari TFC II menjelma pada minit ke-60 menerusi ledakan kencang Bruno dari dalam kotak penalti susulan serangan balas ke arah kubu pelawat.

Kedudukan itu begitupun tidak kekal lama selepas JDT II mengikat jaringan 1-1 melalui tandukan bekas penyerang negara, Darren, hasil umpanan Fernandez pada minit ke-65.

Akanni Sunday Wasiu kembali mencemaskan Haziq di pintu golnya pada minit ke-71, namun rembatan kaki kiri pemain Nigeria itu sekadar menerjah jaring tepi.

Kesempatan turut dimiliki JDT II apabila voli menarik Fernandez (m-78) tersasar ke sebelah kiri Sharmiza yang sudah terkaku di posisinya sebelum gol kedua terhasil pada minit ke-82.

Berpunca daripada hantaran Fernandez dari sebelah kanan, Kumaahran, bijak menghidu peluang dan menanduk masuk jaringan kemenangan untuk memastikan JDT II sebelah kaki ke pentas final.

Kredit foto: Johor Southern Tigers