Pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin, memuji Faiz Hanif Adnan yang masuk dari bangku simpanan dan menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat aksi dengan Terengganu FC (TFC) II, malam tadi.

Selain kelibat pemain berusia 23 muda itu, impak penyerang import, Michael Ijezie, turut menjadi faktor kebangkitan skuad Varsity Boys itu dalam babak kedua.

Sulaiman berkata kemasukan dua pemain tersebut membantu UKM FC kembali beraksi dengan rentak sebenar selepas mereka ketinggalan 0-2 sehingga tamat separuh masa.

"TFC II menghukum kesilapan mudah kami dalam 45 minit pertama.

"Mujur gol pertama UKM FC dihasilkan awal dalam babak kedua dan kami berpeluang mengejar kedudukan.

"Kemasukan Faiz dan Ijezie memainkan peranan sehingga kami berpeluang untuk menang pada penghujung perlawanan," jelasnya.

Beraksi di tempat lawan, UKM FC ketinggalan pada minit ke-21 menerusi sepakan penalti Bruno Suzuki sebelum Derchi Marcel (m-30) menggandakan kedudukan buat TFC II.

Pemain import Iran, Milad Mansour, kemudian menghidupkan perjuangan UKM FC melalui jaringan menarik pada minit ke-55.

Serangan bertali arus mereka membuahkan hasil selepas Faiz menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-88 untuk memberikan satu mata kepada pasukannya.

"Kredit kepada kedua-dua pasukan kerana sepanjang sembilan kali bertemu TFC II, mereka sentiasa memberi saingan.

"Satu mata dibawa pulang ini sudah memadai dan saya gembira dengan aksi ditampilkan pemain-pemain saya," tambahnya.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia