UKM FC 1 TFC II 3

UKM FC gagal mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri dalam Piala Cabaran apabila tumpas 1-3 kepada Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam aksi Kumpulan A, petang tadi.


Kedua-dua pasukan turun dengan barisan terbaik dalam mengukuhkan kedudukan dalam saingan Kumpulan A.

Namun, babak pertama menyaksikan TFC II memulakan perlawanan dengan lebih agresif.

Hasilnya, pelawat membuka jaringan menerusi Sebastien Thuriere pada minit kelima.

Belum sempat tuan rumah bangkit, TFC II terus melebarkan jurang gol dan kali ini menerusi Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-26.

UKM kemudian merapatkan jurang gol menerusi Micheal Ijenzie, 10 minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

TFC II terus menguasai permainan dan meraih gol ketiga pada minit ke-66 menerusi jaringan peribadi kedua Akanni Sunday yang menyudahkan umpanan Bruno Suzuki.

UKM cuba bangkit dengan kerap mengancam benteng pelawat selepas itu, namun benteng TFC II kekal ampuh dan kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat.

"Gol pada awal permainan merupakan detik kebangkitan kami sehingga kami beroleh lebih keyakinan untuk beraksi di tempat lawan.

"Saya akan melihat senarai pemain yang tercedera dan digantung terlebih dahulu sebelum kami mengadakan persiapan bertemu Sarawak selepas ini," kata jurulatih TFC II,Tengku Hazman Raja Hassan.

Bagi jurulatih UKM, Sulaiman Hussein, kegagalan anak buahnya menyesuaikan diri dengan segera menjadi titik kegagalan mereka hari ini.

"Dari awal lagi, saya sudah berpesan kepada anak buah, tempoh 15 minit pertama sangat getir kerana pasukan seperti TFC II akan memberikan tekanan hebat.

"Kami melakukan kesilapan mudah dan TFC II mengambil kesempatan."

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A di Stadium Negeri, Kuching, malam ini, Negeri Sembilan mengukir kemenangan pertama dengan menundukkan Sarawak 2-0.

Gol-gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Faizal Abu Bakar (m-86) dan Fakhrul Aiman (m-93).

Kedua-dua pasukan, bagaimanapun, sudah tersingkir daripada perebutan slot separuh akhir dengan mengisi dua tangga terbawah kumpulan.