Selepas sekian lama, pertemuan di antara Sabah dan Selangor kembali berlaku dan kali ini, kedua-dua pasukan berkenaan bakal bertembung dalam Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Nama Sabah mungkin tidak sehebat Selangor dalam kancah bola sepak negara, namun kedua-dua pasukan itu mempunyai sejarah tersendiri, dengan Sabah paling banyak kecewa.

Dua pasukan itu pernah bersaing untuk menjulang Piala Malaysia dalam final 1996 serta 2002 dan kedua-duanya dimenangi Selangor, begitu juga pada 2003 apabila Sabah sekali lagi kempunan untuk muncul juara selepas dikecewakan MPPJ dalam final, juga kepada sebuah lagi pasukan dari Selangor.

Pengendali Sabah ketika ini, Jelius Ating, serta pembantunya, Burhan Ajui, adalah antara pemain yang terlibat membantu Sabah dalam ketiga-tiga perlawanan akhir berkenaan walaupun Jelius terlepas aksi final 2002 kerana digantung perlawanan dan sudah pasti perlawanan bertemu Selangor esok bakal mengimbau semula kenangan mereka sebagai pemain.

"Apabila kita bercerita mengenai Piala Malaysia, nama Selangor tidak pernah terkecuali, pasukan ini jugalah yang mengecewakan Sabah dalam dua final, iaitu pada 1996 dan 2002, begitu juga pada 2003 apabila kami sekali lagi kempunan menjulang piala itu selepas tewas kepada MPPJ.

"Selangor mungkin kalah dalam dua perlawanan awal mereka tetapi saya jangkakan aksi esok sangat sengit kerana mereka (Selangor) sudah pasti mahu mengutip mata. Bagaimanapun, kami sudah bersiap sedia dan sasaran kami adalah untuk mencatat kemenangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi Burhan pula, pertemuan dengan Selangor antara yang paling diingatinya ketika masih bergelar pemain dan pastinya final 1996 detik paling mengecewakannya selepas gagal menyempurnakan penalti ketika itu.

"Mereka (Selangor) dua kali mengecewakan kami dalam final, termasuk pada 2002 hasil jaringan emas (Mohd) Amri Yahyah dan dia juga akan beraksi esok selaku kapten, begitu juga pada 2003 apabila sebuah lagi pasukan dari Selangor (MMPJ) menewaskan kami dalam final.

"Ya memang perlawanan bertemu Selangor saya anggap klasik dan saya harap anak buah saya mampu mengatasi mereka esok kerana kami ada percaturan tersendiri untuk memenangi perlawanan," katanya yang akan mengekalkan kesebelasan utamanya sewaktu bertemu PKNP FC, minggu lalu.