PDRM 2 SELANGOR 2

Selangor mencatat keputusan seri ketiga dalam saingan Kumpulan D, Piala Malaysia apabila terikat 2-2 dengan PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka, sebentar tadi.


Keputusan itu pasti akan menambah tekanan juara 33 kali berkenaan, lebih-lebih lagi buat jurulatihnya, B. Sathianathan, yang mencanang sasaran satu piala musim ini.

Kebangkitan yang cuba dihasilkan dalam babak kedua ternyata tidak berdaya apabila pemain import, Lee Chang-hoon, menjadi wira The Cops menerusi gol penyamaannya pada minit ke-86.

Ughe Agaba memberikan petanda buruk buat The Red Giants apabila menghasilkan gol pendahuluan tuan rumah pada minit ke-28.

Agaba melakukan larian solo untuk melepasi kawalan pertahanan Selangor sebelum melakukan rembatan kencang yang menewaskan Khairul Azhan Khalid.

PDRM mendahului hingga waktu rehat, namun Selangor mencaturkan aksi lebih tersusun dalam babak berikutnya.

Menerusi gerakan daripada sepakan penjuru Sandro da Silva, pertahanan tengah, Taylor Regan, memanfaatkan tandukan awal Ifedayo Olusegun untuk kembali mengikat kedudukan pada minit ke-68.

Ifedayo kemudian meletakkan Selangor di depan dengan menyudahkan hantaran lintang Syahmi Safari pada minit ke-80.

Namun, malang terus menimpa juara edisi 2015 itu apabila Chang-hoon meloloskan diri dari tengah padang untuk menewaskan Khairul Azhan menerusi situasi satu lawan satu.

Sebagai rekod, Selangor kini berada di tangga kedua Kumpulan D selepas menghimpunkan enam mata daripada satu kemenangan dan tiga keputusan seri.

PDRM pula di tangga ketiga dengan kekurangan satu mata di belakang Selangor dan Melaka, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.