Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, puas kekalahan kepada Terengganu FC (TFC) dalam pusingan pertama ditebus dengan kemenangan dramatik 3-2 di tempat lawan, malam tadi.

Sambil memuji karakter skuad Kedah, Aidil menyifatkan keberkesanan mengawal kelibat Sanjar Shaakhmedov dan Kipre Tchetche sebagai kunci mengutip tiga mata berharga.

Jurulatih dari Singapura itu turut melabel pemainnya sebagai pejuang kerana mahu beraksi walaupun dibelenggu kecederaan seperti Mohd Rizal Ghazali, David Rowley, Edgar Bernhardt serta Fernando Rodriguez.

"Bukan tugas mudah datang ke Kuala Terengganu kerana kami tewas 0-2 sebelum ini walaupun TFC bermain dengan 10 orang.

"Jadi, saya tahu kami perlu ada rancangan untuk menyekat pergerakan perancang utama mereka, iaitu Shaakhmedov dan Tchetche," jelas Aidil.

Juara Piala FA, Kedah, mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas jaringan Jonatan Bauman, Bernhardt dan Baddrol Bakhtiar cukup untuk mengecewakan TFC di kandang sendiri.

Gol penyamaan Lee Tuck dan Abdul Malik Mat Ariff pula sekadar menambah kerancakan permainan yang disifatkan Aidil aksi berkualiti dipamerkan kedua-dua pasukan.

"10,200 penonton memberikan suasana yang menakjubkan dan sebagai rakyat Singapura, saya sedar betapa uniknya Piala Malaysia bagi peminat di Malaysia.

"TFC dan Kedah beraksi cukup baik dengan masing-masing mengamalkan corak menyerang yang sebenar," tambahnya lagi.