Juara bertahan, Perak, yang kedudukannya kini ibarat telur di hujung tanduk mesti menang ke atas Pahang dalam saingan Kumpulan C di Stadium Perak malam esok bagi mencerahkan peluang mara ke suku akhir Piala Malaysia 2019.

Dengan berbaki dua perlawanan, The Bos Gaurus ketika ini menduduki tangga kedua kumpulan itu selepas mengutip lima mata untuk mengatasi Pulau Pinang yang turut mempunyai lima mata dengan kelebihan jaringan.

Pasukan Pulau Mutiara itu akan bertandang ke Kota Kinabalu untuk bertemu Sabah, malam esok.

Skuad Tambadau itu yang muncul juara Liga Perdana musim ini masih memburu kemenangan pertama dalam kumpulan itu.

Justeru, peminat dijangkakan menyaksikan aksi sengit di antara Perak dan Pulau Pinang bagi merebut satu lagi tempat ke suku akhir.

"Tiada pilihan kecuali menang. Oleh yang demikian, kami perlu bersatu dan bekerja keras dalam perlawanan malam esok," kata ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

Menurutnya lagi, setiap pemain sudah tahu tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam misi mesti menang Perak itu.

Beliau, bagaimanapun, sedar tugas berat yang menanti kerana Pahang bukan calang-calang pasukan.

Perak tumpas 0-3 kepada Tok Gajah dalam pusingan pertama dan pemain The Bos Gaurus itu pasti turun dengan azam dan tekad menebus kekalahan itu.

Jurulatih itu berharap anak buahnya mampu mengulangi persembahan seperti ketika mengatasi anak buah Dollah Salleh itu 3-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Ipoh, 30 Jun lalu.

"Ini bukan perlawanan balas dendam tetapi hakikatnya kami perlu menang.

"Jadi, aksi terbaik daripada setiap pemain dituntut dalam perlawanan ini.

"Jika itu mampu dilakukan, saya yakin kami berpeluang untuk mencatat kemenangan," katanya.