Perak memerlukan kemenangan tetapi tugas juara bertahan itu bertambah sukar menjelang pertemuan dengan Pahang dalam perlawanan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Perak, malam ini

The Bos Gaurus akan turun tanpa khidmat dua tonggak import, Leandro Dos Santos dan Raianderson Careca.

Leandro terpaksa diketepikan kerana penggantungan perlawanan manakala Careca pula mengalami kecederaan.

Ketiadaan dua pemain itu pasti menjejaskan misi wajib menang mereka dalam usaha untuk merebut tempat ke suku akhir.

"Ketiadaan mereka akan menjejaskan pasukan tetapi apapun, perjuangan tetap diteruskan.

"Saya yakin pemain lain bersedia untuk mengharungi perlawanan ini.

"Kami akan terus memberikan saingan kepada Pahang.

"Memang perlawanan ini sukar tetapi tiada yang mustahil," ujar ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

Dia berasa lega apabila kesemua pemain kebangsaan -- Shahrul Saad, Brendan Gan, J. Partiban, Shahrel Fikri Md. Fauzi, Nazirul Naim Che Hashim dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy -- kembali menyertai pasukannya dalam keadaan sihat.

Shahrul dan Brendan berada dalam kesebelasan utama perlawanan menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), masing-masing di Jakarta dan Stadium Nasional, Bukit Jalil, baru-baru ini.

Partiban turut mencurah kudrat bersama skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu ketika bertemu UAE manakala Shahrel Fikri, Nazirul Naim dan Hafizul Hakim diletakkan sebagai pemain simpanan dalam kedua-dua perlawanan.