PERAK 1 P PINANG 1

Juara bertahan, Perak, mensia-siakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Pulau Pinang dalam perlawanan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Perak, sebentar tadi.

Anak buah Mehmet Durakovic itu hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan peluang diperoleh.

Walaupun menguasai permainan, terutama dalam babak pertama, tuan rumah malangnya gagal menyudahkan peluang dicipta.

Perak yang tumpas 0-3 di tangan Pahang di Kuantan minggu lalu menyerbu garang ke kubu lawan.

Serangan bertalu-talu Perak memaksa Pulau Pinang bekerja keras mempertahankan kubu mereka.

Usaha mereka berhasil apabila Ronaldo Henrique Silva membuka jaringan pada minit ke-10.

Pemain itu menolak masuk bola silangan J. Partiban untuk menamatkan kemarau jaringan empat perlawanan sebelum ini.

Skrip babak kedua tidak berubah, dengan tuan rumah meneruskan asakan tetapi tiada penyudah.

Sebaliknya anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid itu memanfaatkan sekelumit peluang diperoleh apabila menyamakan kedudukan melalui serangan balas kilat pada minit ke-63 melalui Anselmo Casagrande.