Perak-PKNS pamer aksi hambar di Ipoh

Oleh Staff Writer 25 September 2018 6910
Perak-PKNS pamer aksi hambar di Ipoh
PERAK 0 PKNS 0

Perak gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri ketika berdepan PKNS dalam suku akhir pertama Piala Malaysia selepas seri tanpa jaringan, sebentar tadi.


Aksi dalam babak pertama menampilkan corak permainan seimbang di antara Perak dan PKNS, bagaimanapun ketangkasan kedua-dua penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam serta Zarif Irfan Hashimuddin tidak banyak diuji.

PKNS terlebih dahulu melancarkan serangan seawal minit kedua perlawanan, dengan bekas pemain Perak, Nurridzuan Abu Hassan, melepaskan sepakan percuma, namun percubaannya sekadar melewati palang gol.

Tuan rumah memperoleh peluang untuk mencipta jaringan pada minit ke-20 menerusi Brendan Gan dengan rembatan dari luar kotak penalti tetapi sekadar tersasar.

PKNS dan Perak cuba meningkatkan rentak permainan dalam separuh masa kedua -- Wander Luiz dan Gilmar da Silva menghasilkan percubaan tetapi sentuhan terakhir yang mengecewakan menyaksikan Perak gagal meraih jaringan.

Seri tanpa jaringan di Stadium Perak menyaksikan kedua-dua pasukan bakal berentap dalam 90 minit kedua bagi menentukan slot ke separuh akhir Piala Malaysia.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen