Walaupun sukar, penyokong Sabah tetap menaruh harapan pasukan itu mampu mencipta keajaiban apabila melayani kunjungan Perak untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas, malam esok.

Beberapa penyokong yang ditemui turut berpendapat pasukan berkenaan masih berhak untuk menerima sokongan padu walaupun secara realitinya mereka perlu mengejar kelebihan lima gol yang dimiliki The Bos Gaurus.

Seorang penyokong, Mahmud Mohd Jair, 39, berkata walaupun peluang Sabah untuk mara ke final agak tipis, beliau tetap bersemangat untuk datang ke stadium malam esok untuk memberi sokongan.

"Sebagai penyokong setia, tiada alasan bagi saya untuk tidak turun memberi sokongan kepada Sabah esok, lebih-lebih lagi ia adalah perlawanan separuh akhir.

"Ya memang betul kami kalah teruk di Perak tempoh hari tetapi dalam bola sepak, apapun boleh berlaku. Kami masih ada 90 minit dan saya harap keajaiban akan berlaku esok," katanya.

Seorang lagi penyokong, Rayner Ricky Sodomon, 32, berkata pasukan Sabah masih berhak menerima sokongan padu ribuan penyokong walaupun terpaksa menerima hakikat misi untuk ke final musim ini sukar.

"Ini pasukan kami, kenapa kami tidak mahu memberi sokongan? Tiada siapa sangka Sabah mampu melangkah sejauh ini.

"Saya harap pemain akan melakukan yang terbaik malam esok. Saya akan turun ke stadium bersama semua ahli keluarga untuk memberi sokongan walaupun mungkin kami tidak dapat ke final tahun ini, kami sepatutnya berbangga dengan pasukan ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan di perkarangan Stadium Likas pagi tadi mendapati kaunter jualan tiket agak lengang dengan hanya beberapa penyokong membeli tiket perlawanan.

Bagaimanapun, mereka yang datang lebih awal membeli tiket dengan kuantiti lebih daripada lima, malah ada yang membeli sebanyak 10 tiket, iaitu kuantiti yang dihadkan bagi setiap penyokong.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, tidak sampai 1,000 tiket dijual dan situasi itu sangat berbeza berbanding aksi suku akhir bertemu Kelantan apabila lebih 6,000 tiket berjaya dijual dalam tempoh sama.