Penyokong Kedah puas hati penjualan tiket final

Oleh Bernama 31 Oktober 2019 294
Penyokong Kedah puas hati penjualan tiket final
Penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman, Alor Setar berjalan lancar dan memuaskan hati penyokong Kedah yang telah menunggu kaunter dibuka sejak pagi tadi.

Tinjauan Bernama mendapati lima kaunter disediakan dan peminat yang menunggu berjaya mendapatkan tiket masing-masing sebaik kaunter dibuka mulai jam 10.30 pagi.

Seorang penyokong Kedah, Siti Sarah Ahmad, 40, berkata dia dan suami bersama tiga anak berusia di antara enam dan 18 tahun keluar dari rumah mereka di Kampung Balik Hutan seawal jam 6 pagi dan terus beratur di kaunter yang disediakan khas untuk wanita.

“Kami keluar awal kerana bimbang tiket habis tapi syukur kerana berada dalam kelompok awal untuk membeli tiket. Saya meminati pasukan Kedah sejak tahun 2007, jadi bila dapat tiket memang bersemangat dan gembira untuk ke Stadium Bukit Jalil.

“Saya akan pergi bersama keluarga dengan menaiki bas pagi Sabtu nanti. Sebagai penyokong setia Kedah, saya harap pasukan Lang Merah dapat menebus kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2017 dan berharap kali ini Kedah menang 2-0,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Darul Aman, hari ini.  

Pasangan suami isteri, Siti Martini Abu Seman, 38, dan Hasbullah Ismail, 38, dari Gurun turut melahirkan rasa gembira selepas berjaya mendapatkan tiket walaupun tiba di stadium itu pada jam 9.30 pagi.

“Kami sekeluarga memang penyokong pasukan Kedah dan setiap kali pasukan berjaya mara ke perlawanan akhir, kami akan turun ke stadium untuk beri sokongan bersama penyokong lain. Kali ini, saya harap Piala Malaysia dapat dibawa ke Negeri Jelapang Padi ini.

“Kami akan bergerak ke stadium esok dan percaya pasukan Kedah akan memberi yang terbaik sepanjang perlawanan dan berharap kami menang dengan jaringan gol 3-0,” kata Siti Martini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Jusri Anuar Jamarudin, berkata sesi pertama penjualan tiket hari ini bermula 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan rata-rata penyokong berjaya mendapatkan tiket.

“Setakat ini, semuanya terkawal dan berjalan lancar di mana pegawai KFA dan anggota polis sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan keselamatan semua pihak terjaga. Penjualan tiket hari ini sampai pukul 4.30 petang dan sekiranya ada lebihan, ia akan dijual esok di Stadium Shah Alam,” katanya.

Sebanyak 26,610 keping tiket dijual. Daripada jumlah itu, 25,860 adalah tiket dewasa berharga RM50 dan 750 keping tiket untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah berharga RM5.

Kedah akan berdepan JDT dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini, lawan sama yang mengecewakan mereka ketika final Piala Malaysia 2017 dengan kekalahan 0-2.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen