PNKP FC menerima khabar sedih menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia apabila penjaga gol utama, Ahmad Asyraaf Omar, terpaksa meninggalkan pasukan ekoran ibunya meninggal dunia, sehari sebelum menentang Negeri Sembilan di Paroi, malam ini.

Menurut pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, Asyraaf yang sudah bersama pasukan di Seremban, bergegas pulang ke Ipoh malam tadi sebaik mendapat perkhabaran ibunya meninggal dunia kerana kanser usus.

"Kami tidak menyangka dan seluruh pasukan mengucapkan takziah kepada keluarga Asyraaf.

"PKNP akan tetap berjuang," demikian pengesahan yang dibuat Abu Bakar ketika sesi latihan ringan di hotel penginapan pasukan di Seremban, pagi tadi.

Berikutan perkembangan itu, bekas jurulatih Perak itu terpaksa menagih khidmat dua penjaga gol skuad Piala Presiden, Amin Faisal Saidi dan Firdaus Suhaimi.

"Kami sepasukan berasa sedih dengan berita pemergian ibunya.

"Sama-sama beraksi sebagai penjaga gol, perasaan sedih itu tidak dapat dielakkan," kata Amin Faisal yang dijangka akan diturunkan.