Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, puas kerana pengorbanannya untuk melupakan masalah keletihan membuahkan hasil dengan meledakkan hatrik yang membantu pasukannya menyingkirkan Selangor dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam semalam.

Selepas terlibat dalam hampir kesemua perlawanan di peringkat domestik dan antarabangsa, pemain kelahiran Dungun itu gagal menyerlah ketika JDT meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Selangor dalam perlawanan pertama di Larkin minggu lalu.

Namun, pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan prestasi berbeza di Shah Alam apabila menjaringkan ketiga-tiga gol yang memacu skuad Harimau Selatan itu ke final.

"Ia tiada apa pun, mungkin hari ini saya bermain baik dan esok tidak.

"Jadi, ia rezeki. Saya melakukan lebih (latihan) dan tempat pemulihan di JDT juga amat lengkap.

"Ia mempercepatkan pemulihan saya," katanya.

Kejayaan JDT itu turut dibantu dengan aksi mantap penyerang utama, Diogo Luis Santo, sebagai wira tidak didendang.

Diogo kembali memperkuatkan pasukan itu selepas diketepikan dalam pertemuan pertama gara-gara kecederaan.

Bagaimanapun, kelibat bekas penyerang Olympiacos itu memberikan impak besar terhadap persembahan skuad bimbingan Benjamin Mora itu.

"Dia tergesa-gesa untuk kembali daripada kecederaan.

"Keadaannya 50-50, kami tidak tahu keadaannya hingga saat-saat akhir.

"Pasukan perubatan JDT melakukan tugas dengan amat baik untuk membantu Diogo kembali.

"Dan dia beraksi dengan amat-amat baik," kata Mora.