Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mahu pemain mengatasi masalah ‘kebuntuan’ ketika dalam permainan sehingga pasukan lawan berjaya menguasai perlawanan.

Beliau berkata biarpun mencatat kemenangan 1-0 ke atas Melaka dalam aksi Piala Malaysia semalam, skuad The Red Giants itu kemudian menerima tekanan hebat daripada tuan rumah selepas mendapat gol menerusi Endric Dos Santos pada minit ke-61.

"Ini bukan masalah kecergasan tetapi kebuntuan, kami perlu kuatkan mental. Selepas mendahului perlawanan, selalunya pemain berasa tidak yakin dan ia boleh dilihat dalam gol-gol dihasilkan lawan, 60 peratus kebanyakannya kami dibolosi menerusi serangan balas serta set piece.

"Dalam saingan Piala Malaysia, kami kena kekalkan prestasi dan perlu agresif, namun saya berpuas hati dengan kemenangan malam ini untuk membolehkan kami kutip tiga mata," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Kumpulan D di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Terdahulu, kedua-dua pasukan buntu mencari gol dalam separuh masa pertama sehingga masuk ke babak kedua yang menyaksikan rembatan Endric gagal diselamatkan penjaga gol Melaka, Ahmad Solehin Mamat.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad Sang Kancil, Zainal Abidin Hassan, berkata beliau kecewa dengan keputusan itu walaupun pemain mempamerkan prestasi terbaik dengan cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun gagal menghasilkan jaringan.

"Apa yang penting kami perlu gantikan mata ini nanti dengan mencari kemenangan di tempat lawan. Memang merugikan kami hilang mata di tempat sendiri, namun kami akan perbaiki segala kelemahan dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Selangor kini mendahului Kumpulan D selepas mengutip empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri, diikuti PDRM FA dan Melaka United yang berkongsi tiga mata manakala Felda United di kedudukan keempat dengan satu mata.

-- BERNAMA