Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, optimis pasukannya berpeluang cerah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas hanya tewas tipis 0-1 kepada Perak dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Perak, malam tadi.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai, lebih-lebih lagi skuad The Red Giants akan beraksi di Stadium Shah Alam untuk aksi timbal balik, Ahad ini.

"Dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku. Kami nak bangkit dalam pusingan kedua (suku akhir), kalah 0-1 lebih baik daripada dibolosi 0-3.

"Dengan sokongan penyokong The Red Giants, saya berani cakap ia akan beri kelebihan dan motivasi kepada barisan pemain.

"Malah, tiada pasukan yang nak kalah kalau beraksi di tempat sendiri," katanya ketika sidang media selepas perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal skuad The Bos Gaurus dijaringkan pemain kebangsaan, Brendan Gan, pada minit ke-13.

Mengulas aksi yang ditampilkan pasukannya, Sathianathan berkata dia berpuas hati meskipun ada pemain utama yang diturunkan masih dibelenggu kecederaan.

"Misalnya Abdul Halim Saari dan Mohd Syazwan Zainon, mereka bermain dalam keadaan (prestasi) 50 peratus. Sandro Da Silva tidak diturunkan sebab masalah sama. Jadi, bagi saya, pemain telah tunjukkan satu persembahan yang baik," katanya.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmed Durakovic, mengakui pasukannya bakal berdepan tugas berat dalam aksi suku akhir kedua di gelanggang lawan susulan kemenangan tipis dalam perlawanan malam tadi.

Bagaimanapun, dia yakin anak buahnya akan berjuang habis-habisan untuk mengekalkan kelebihan yang dimiliki, sekali gus melangkah ke peringkat separuh akhir.

"Bukan mudah berdepan mereka (Selangor) di Shah Alam. Pemain perlu memberikan komitmen 100 peratus di atas padang untuk perlawanan itu nanti. Saya percaya jika itu dilakukan, kami akan berjaya mencatat keputusan positif," katanya.

-- BERNAMA