Persatuan Bolasepak Melayu Perak (PBMP) tidak setuju dengan tindakan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletak jawatan sebagai presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Presidennya, Ishsam Sharuddin, berkata tindakan itu tidak wajar dan Hasnul tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan penyokong.

"Dia dipilih di dalam kongres oleh perwakilan terdiri daripada ahli gabungan.

"Siapa kelab penyokong yang hendak mendesak pegawai yang dilantik secara demokrasi dengan mengadakan bantahan jalanan dan mengutip petisyen.

"Jangan politikkan bola sepak. Walaupun berlainan ideologi dan fahaman, jangan campur adukkan dengan sukan. Rosak nanti," katanya sambil menyelar kumpulan penyokong yang cuba menjadi kumpulan pendesak.

Ishsam yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Tapah (PBSDT) berkata pemimpin seperti Hasnul sepatutnya berjiwa kental dan cekal menghadapi kemarahan penyokong.

Bekas pemain Perak pada zaman 90-an itu memberi contoh dirinya sendiri yang pernah menghadapi ugutan bunuh gara-gara gagal menyepak masuk sepakan penalti.

"Penyokong menunggu untuk pukul saya selepas perlawanan dan saya terpaksa diseludup keluar.

"Tidak cukup dengan itu mereka tunggu saya sewaktu latihan," katanya.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, pengurus Perak ketika itu, Allahyarham, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, mengarahkannya berehat serta keluar kawasan selama lebih dua minggu bagi mengelak berlaku gejala tidak dingini.

Ishsam berkata dia kembali ke pangkuan pasukan selepas kemarahan penyokong dan keadaan reda.

Oleh yang demikan, PBMP berharap Hasnul memikirkan semula tindakannya itu demi kemajuan sukan bola sepak Perak yang mula menujukkan sinar di hujung terowong.