"Lakukan demi penyokong", tegas penjaga gol Pulau Pinang, Zamir Selamat, ketika pasukannya berdepan misi mustahil untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia menjelang pertemuan berdepan Pahang di Stadium Bandaraya, malam ini.

Skuad Harimau Kumbang itu mengharapkan keajaiban dalam aksi terakhir Kumpulan C itu untuk mara ke suku akhir.

Selain perlu menang besar ke atas Pahang di laman sendiri, skuad bimbingan Manzoor Azwira Abd Wahid itu turut mengharapkan ihsan daripada Perak untuk memastikan kemenangan ke atas Sabah.

Bagaimanapun, Zamir enggan memikirkan perkara itu, sebaliknya mahu memastikan pertemuan malam ini sebagai hadiah bermakna buat pemain ke-12.

"Perkara paling penting bagi Pulau Pinang adalah menampilkan permainan terbaik ketika berdepan Pahang," katanya.

Zamir mula diberi kepercayaan mengemudi benteng akhir dalam kempen Piala Malaysia, namun dibolosi lapan gol daripada lima perlawanan.

Justeru, bekas penjaga gol Harimau Muda A itu tekad untuk memperbaiki aksinya walaupun tugasan kali ini nyata lebih mencabar buat dirinya.

"Kami akan cuba yang terbaik ketika berdepan Pahang. Mereka dibarisi pemain skuad kebangsaan dan barisan pemain import yang berpengalaman. Bagaimanapun, ia tidak akan menghalang Pulau Pinang untuk mencipta keputusan yang positif."