"Bukan permainan biasa Pahang," begitu alasan ketua jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh, mengenai kekalahan 1-3 kepada Perak di Ipoh, semalam.

Menurutnya, persembahan Pahang terjejas ekoran enam pemain tidak dapat berlatih bersama selama tiga minggu kerana terbabit dengan tugasan skuad kebangsaan Malaysia, Singapura dan Indonesia.

"Kami hilang momentum berikutan kehilangan enam pemain penting selama tiga minggu kerana tugasan negara," katanya.

Pemain terbabit adalah Mohamadou Sumareh, Nor Azam Azih, Matthew Davies dan Norshahrul Idlan Talaha yang mendapat panggilan kem kebangsaan.

Saddil Ramdani pula memperkuatkan skuad Indonesia manakala Safuwan Baharudin mewakili Singapura sepanjang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, 5 dan 10 September lalu.

"Mereka hanya menyertai kami beberapa hari lalu.

"Malah, Safuwan menyertai pasukan sehari sebelum perlawanan kerana terpaksa mengharungi perjalanan jauh gara-gara pesawat yang dinaikinya tidak dapat mendarat di Ipoh.

"Pesawat itu terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur dan kemudian ke Pulau Pinang," tambahnya.

Kecemerlangan Tok Gajah dengan rekod tanpa kalah dalam saingan Kumpulan C sebelum ini musnah berikutan kekalahan malam tadi.

"Kalah adalah kalah, itu semua (asam garam dalam) bola sepak.

"Jadi, kami perlu bangkit untuk perlawanan seterusnya menentang Pulau Pinang," tambahnya lagi.

Pahang masih selesa mendahului Kumpulan C dengan kutipan 12 mata selepas memenangi empat perlawanan pertama.