Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, dibelenggu kecederaan pemain utama, antaranya Lazarus Kaimbi dan Norshahrul Idlan Talaha, menjelang aksi pertama separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019.

Sesi latihan ringan Pahang menyaksikan Kaimbi sekadar menjadi pemerhati, dengan Dollah enggan mengambil risiko bagi mengelak pemain itu mengalami kecederaan yang lebih serius ekoran permukaan keras bagi membuka ruang pemain dari Namibia itu membantu Pahang di Stadium Darul Aman, malam ini.

"Terdapat hampir empat atau lima pemain, termasuk Kaimbi, yang mengalami kecederaan menjelang aksi berdepan Kedah," kata Dollah.

"Tetapi saya percaya pemain yang terpilih beraksi malam ini akan menampilkan permainan yang terbaik."

Selain Kaimbi, kelibat Norshahrul juga tidak kelihatan gara-gara masalah kecederaan pangkal paha sementara Faisal Halim dan Zuhir Aizat telah disahkan Dollah tidak dapat beraksi, namun tetap bersama dengan pasukan menjalani latihan ringan.

Masalah kecederaan merencatkan pelan utama bekas pengendali skuad kebangsaan itu yang meletakkan harapan tinggi terhadap Mohamadou Sumareh, Dickson Nwakaeme serta Saddil Ramdhani sebagai watak penting merobek gawang Kedah.

"Setakat ini, saya masih lagi memiliki khidmat beberapa import utama dalam jentera serangan, jadi saya tidak begitu risau dengan kemampuan pasukan meledak jaringan," katanya lagi.