PAHANG 1 JDT 1

Pahang berjaya mengikat jaringan untuk memastikan mereka seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, sebentar tadi.


Pahang dan JDT sentiasa menampilkan aksi sengit setiap kali mereka bertembung, dengan rekod yang lebih cemerlang memihak skuad Tok Gajah dalam aksi peringkat kalah mati.

JDT terlebih dahulu menguji pertahanan Pahang dengan sepakan percuma Safawi Rasid pada minit kelima, namun percubaannya sekadar melewati palang gol.

Pahang turut memberikan asakan kepada lawan, dengan hantaran silang Mohamadou Sumareh pada minit ke-34 berjaya ditanduk Patrick Cruz, namun gagal menguji ketangkasan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Penonton yang hadir menyaksikan perlawanan di Kuantan terpaksa menunggu hingga babak kedua untuk menyaksikan jaringan gol -- Hazwan Bakri berjaya mencari ruang untuk melepaskan hantaran yang disempurnakan oleh Gonzalo Cabrera pada minit ke-46.

Ketika JDT di ambang kemenangan, sekali gus membawa pulang kelebihan ke Larkin untuk aksi suku akhir kedua, Pahang berjaya mengikat jaringan menerusi tandukkan Safuwan Baharuddin pada minit terakhir permainan bagi memastikan Pahang meraih keputusan seri.